Global

Rafizi wakili Malaysia ke Sidang Kemuncak BRICS Plus di Rusia

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak BRICS Outreach/BRICS Plus di Kazan, Rusia.

Melalui satu kenyataan beliau berkata, sidang kemuncak bertemakan ‘BRICS dan Selatan Global: Bersama-sama Membangun Dunia yang Lebih Baik’ diadakan susulan Sidang Kemuncak BRICS ke-16 dan menghimpunkan pemimpin-pemimpin negara serta menteri-menteri daripada sembilan negara anggota BRICS bersama wakil dari 20 negara jemputan bukan BRICS.

“Lawatan kerja ini akan melibatkan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari negara jemputan lain di sela-sela persidangan, selain itu lawatan berkenaan disertai oleh pegawai kanan daripada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Luar Negeri yang menunjukkan komitmen teguh Malaysia untuk memupuk kerjasama dan dialog global,” katanya.

Pada sidang kemuncak itu beliau turut dijangka isu-isu kritikal bagi Selatan Global termasuk pembangunan mampan, reformasi sistem tadbir urus global serta situasi geopolitik yang semakin berkembang di Timur Tengah.

BACA LAGI: Negara utama dalam BRICS sokong penyertaan Malaysia

“Menerusi penglibatan aktif dalam Sidang Kemuncak BRICS Outreach/BRICS Plus itu, Malaysia mengukuhkan komitmen untuk memperdalam hubungan dengan negara-negara BRICS dan menghadapi landskap ekonomi global yang kompleks dengan penuh ketahanan.

“Lawatan ini juga menyediakan platform strategik bukan sahaja untuk meneroka potensi peranan Malaysia dalam BRICS, tetapi juga untuk memperjuangkan kerjasama ekonomi, memupuk kemakmuran dan menggalakkan pembangunan inklusif bagi Selatan Global,” tambah kenyataan itu.

Related Articles

Back to top button