Semasa

887 pesawah di Kedah terima bantuan bencana dari KPKM

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.29 juta bagi membantu 887 pesawah di Kedah.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, peruntukan diselia LPP melalui Bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi itu membabitkan 1,649 hektar di kawasan luar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

“Bantuan ini membabitkan lapan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) iaitu PPK Langkawi, Pendang Selatan, Kubur Panjang, Gurun, Pokok Sena, Kuala Nerang, Naka dan Asun yang membabitkan tanah seluas 1,649 hektar.

“Ia diberi kepada petani akibat tanaman mereka terjejas teruk kerana bencana kemarau yang berlaku di Kedah hingga menyebabkan petani kerugian berpuluh ribu ringgit,” katanya dipetik.

Mahfuz sebelumnya hadir ke Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi (kemarau) dan Penyerahan Peruntukkan RMK-12 RP-4 Program Ladang Benih Padi di Alor Setar pada Rabu.

Pada majlis itu Mahfuz turut menyampaikan ‘mock cheque’ Peruntukan RMK-12 RP-4 kepada lapan PPK iaitu PPK Kuala Nerang, Kubur Panjang, Asun, Changlon, Pendang Selatan, Kuala Muda Selatan, Pokok Sena dan Merbok di bawah Program Pembangunan Ladang Benih Padi sebanyak RM2,695.000.

Sementara itu tambahnya, LPP juga turut mengambil tindakan segera berkaitan bencana banjir yang melanda Kedah baru-baru ini terutamanya di beberapa kawasan di bawah pengendalian PPK yang melibatkan tanaman padi di kawasan luar jelapang.

BACA LAGI: Takaful Tanaman Padi dilancarkan sebagai usaha kerajaan lindungi pesawah

Bantuan awal antaranya bakul makanan sudah diagih kepada semua mangsa dengan nilai peruntukkan sebanyak RM190,000 membabitkan seramai 1,000 penerima.

“Ini menunjukkan Kerajaan MADANI hari ini sentiasa peka dengan masalah rakyat dan sentiasa membantu selepas mereka menghadapi bencana alam sama ada kemarau atau banjir.

“Petani harus berterima kasih kepada Perdana Menteri yang sentiasa mengikut perkembangan semasa isu bencana di negara kita ini,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button