Parlimen

Reactor INIR-RR bakal kurangkan kebergantungan import radioisotop – MOSTI

Kewujudan teknologi reaktor baharu oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, (IAEA) akan dapat membantu negara mengurangkan kebergantungan import luar negara terhadap pelbagai jenis radioisotop.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang berkata, kewujudan Integrated Nuclear Infrastructure Review for Research Reactor (INIR-RR) tersebut, negara dapat memfokuskan kepada bidang perubatan, industri dan biosains yang lebih luas.

“Selain itu, ia juga mampu menyumbang kepada peningkatan pengetahuan saintifik dan inovasi berteknologi tinggi dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi negara,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata begitu bagi menjawab pertanyaan seorang Ahli Parlimen berhubung perancangan MOSTI untuk membina reaktor nuklear berteknologi baru bagi menggantikan reaktor tunggal di Malaysia yang sudah digunakan sejak 1982 bagi tujuan perkhidmatan dan kajian penyelidikan.

Mengulas lanjut Lih Kang berkata, kementeriannya melalui Agensi Nuklear Malaysia sedang menjalankan Kajian Teknikal Pelan Penggantian Reaktor Triga Puspati (RTP).

Kajian melibatkan skop penilaian kesan sosio- ekonomi projek Reaktor Penyelidikan Pelbagai Guna (MPR), termasuk kos pembinaan, operasi, keselamatan, sekuriti dan kawal gunaan serta pengurusan sisa yang mematuhi piawaian antarabangsa itu telah dimulakan sejak 2022 menggunakan peruntukan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).

“Kajian ini juga mengambil kira input dan cadangan daripada pihak pemegang taruh agar projek ini memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan di Malaysia,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button