Global

Malaysia belum terima pengumuman rasmi jadi negara rakan BRICS – Rafizi

Malaysia masih belum menerima sebarang pengumuman rasmi mengenai penerimaan negara menjadi negara rakan BRICS.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata begitu sebagai mengulas laporan yang mendakwa Malaysia bersama 12 negara lain diberikan status itu selepas persetujuan dalam kalangan sembilan negara anggota BRICS.

“Bagi pihak delegasi Malaysia, kita akan menunggu sebarang pengumuman yang dibuat. Tapi kita juga telah dimaklumkan bahawa permohonan dari negara-negara untuk menyertai BRICS ini terus berlaku,” katanya.

Terdahulu, kemas kini oleh @BRICSInfo menerusi platform media sosial X mendakwa blok ekonomi itu secara rasmi menambah 13 negara baharu kepada pakatan itu sebagai negara rakan, walaupun belum lagi sebagai ahli penuh.

Selain Malaysia, 12 negara lain ialah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

Tidak dapat dipastikan sama ada akaun itu mempunyai kaitan rasmi dengan BRICS.

Pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada sebarang pengumuman rasmi dikeluarkan oleh kepimpinan blok tersebut, dengan delegasi negara yang disenaraikan dalam senarai tersebut juga tidak menerima sebarang makluman.

BACA LAGI: Rafizi wakili Malaysia ke Sidang Kemuncak BRICS Plus di Rusia

Sementara itu menurut Rafizi, beliau dimaklumkan bahawa proses itu sebenarnya masih diperhalusi.

Untuk menjadi anggota BRICS, sesebuah negara perlu mendapat persetujuan semua negara anggota sedia ada.

“Jadi, saya kira itu akan terus dibincangkan dan dibawa ke persidangan seterusnya di Brazil tahun depan.” katanya.

Related Articles

Back to top button