Program KV diperluas, tarik minat pelajar sertai TVET – Fadhlina
Program Kolej Vokasional (KV) Insani Masyarakat Madani di peringkat sekolah dan komuniti bakal diperluas secara lebih kerap.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu sebagai usaha kementeriannya menyampaikan maklumat secara terus berkaitan hala tuju, laluan kerjaya dan peluang pendidikan dalam bidang TVET kepada orang awam terutama golongan pelajar.
“Program KV ini adalah untuk kita mendekati masyarakat dan melaksanakan program seperti pembaikan rumah, penyaman udara di surau dan masjid yang melibatkan kemahiran anak-anak KV kita.
“Jadi, penting untuk masyarakat terus mengangkat TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) ini sebagaimana kita uar-uarkan dalam Belanjawan 2025.
“Geran Per Kapita (PCG) TVET dinaikkan dan ini antara mengapa TVET mesti terus diperluaskan dalam masyarakat,” kata Ahli Parlimen Nibong Tebal itu.
Beliau sebelumnya hadir merasmikan Karnival Pendidikan Madani dan Program KV Insani Masyarakat Madani peringkat zon Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap pada Sabtu.
Program KV Insani Masyarakat Madani merupakan program utama di bawah seliaan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) KPM.
Sebelum ini, program tersebut telah dilaksanakan secara meluas di seluruh negara termasuk Kelantan, Pahang dan Johor.
BACA LAGI: PM Anwar mahu TVET diperluas, lahir tenaga mahir kuasai teknologi canggih
Bagi zon Pulau Pinang, ia melibatkan tiga komuniti bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nibong Tebal iaitu Sungai Acheh, Sungai Bakap dan Jawi dengan setiap KV diwakili 12 pelajar dan tiga pensyarah.
Program diadakan di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap sejak 15 Okt itu dihadiri kira-kira 3,000 pengunjung.