Negeri

Selangor optimis capai sasaran pelaburan RM50 bilion menjelang akhir tahun ini

Kerajaan Negeri Selangor optimis mencapai sasaran RM50 bilion menjelang akhir tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat Jun negeri Selangor telah berjaya meraih pelaburan berjumlah RM35 bilion.

“Kita capai keseluruhan RM35 bilion daripada sasaran RM50 bilion tahun ini. Itu baru setengah tahun. Jadi kita sasarkan boleh capai sasaran yang telah ditetapkan menjelang akhir tahun.

“Ini menunjukkan consistency (ketekalan) negeri dalam mencatatkan jumlah pelaburan yang signifikan. Daripada segi angka, kita menduduki tangga kedua selepas Kuala Lumpur dan di tangga ketiga diikuti Kedah dan diikuti negeri-negeri lain.

“Jadi saya percaya ini adalah pencapaian yang baik. Apa yang saya ingin nyatakan adalah consistency. Ini menunjukkan bahawa ekosistem pelaburan di negeri ini adalah antara ekosistem yang terbaik di Malaysia,” katanya dipetik laporan Selangorkini.

Sebagai rekod, Selangor merekodkan jumlah pelaburan RM55.3 bilion tahun lalu melebihi sasaran RM45 bilion yang ditetapkan Kerajaan Negeri.

Sementara itu Amirudin memaklumkan negeri itu telah mencatat kutipan hasil RM2.218 bilion setakat ini, lebih tinggi berbanding sasaran awal tahun ini iaitu RM2.2 bilion.

BACA LAGI: Selangor serah tiga khemah khas operasi menyelamat bencana

Prestasi cemerlang itu antaranya disumbang perkembangan positif ekonomi dan kemasukan pelaburan yang agresif selain pembukaan kawasan baharu, pembangunan, perkilangan, pusat data serta beberapa pusat kecemerlangan yang rancak berkembang.

“Alhamdulillah, sebenarnya ini tahun keempat kita sudah dapat capai lebih daripada sasaran dengan tahun lepas lebih tinggi RM2.7 bilion (2023), tahun sebelum itu RM2.5 bilion (2022), tahun sebelum itu RM2.3 bilion (2021),” tambahnya.

Related Articles

Back to top button