Semasa

Fasa 2 baucar buku pelajar IPT bermula Khamis ini – KPT

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan meneruskan pelaksanaan baucar buku bernilai RM100 bagi pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan .

Kementerian itu melalui satu kenyataan berkata, langkah itu bertepatan dengan usaha kementerian untuk memupuk budaya membaca dan menambah akses kepada bahan bacaan akademik.

Fasa kedua yang akan bermula 30 Oktober ini dijangka memberi manfaat kepada lebih sejuta pelajar warga Malaysia,

“Baucar boleh ditebus secara digital melalui portal MySISWAPLACE, iaitu pelantar rasmi yang dikendalikan oleh Yayasan Perkasa Siswa (YPS) di bawah KPT.

“Setiap pelajar IPT yang aktif sehingga 31 Mac 2024 layak menerima baucar yang boleh digunakan bagi pembelian buku secara eksklusif di MySISWAPLACE,” katanya.

Kenyataan itu turut menjelaskan, kod yang dijana hanya sah digunakan untuk transaksi di portal tersebut, membolehkan pelajar menebus baucar bernilai RM100 untuk pembelian bahan bacaan akademik yang disediakan di pelantar dalam talian berkenaan.

BACA LAGI: KPT proaktif pastikan capaian internet di IPTA di tahap tertinggi -Menteri

“Inisiatif baucar buku ini juga dijangka mampu memacu industri penerbitan buku akademik dan wacana ilmiah tempatan, menjadikan MySISWAPLACE sebagai sumber rujukan yang dipercayai bagi pelajar IPT.

“Diharap fasa kedua ini adalah kesinambungan dari pemberian baucar yang telah dilaksanakan pada Jun lalu, yang mana ia berjaya menarik minat ribuan pelajar dalam menyokong aktiviti pembelajaran mereka,” ujarnya

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir akan meluncurkan portal MySISWAPLACE secara rasmi hari ini.

Related Articles

Back to top button