Parlimen

Kos lawatan PM Anwar ke luar negara lebih rendah berbanding PM terdahulu – Dr Zaliha

Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa mendedahkan kos lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara lebih rendah berbanding Perdana Menteri terdahulu.

Dalam jawapan bertulis parlimen, Zaliha berkata, kerajaan membelanjakan sejumlah RM13.7 juta bagi menampung kos 39 lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke luar negara sejak dia mengambil alih kuasa pada Nov 2022 hingga Okt tahun ini.

Hasil lawatan itu, Anwar memperolehi RM353.6 bilion potensi pelaburan pada 2023 dan RM82.6 bilion sejak Jan lalu.

Tambahnya, lawatan Anwar meliputi 22 negara iaitu Australia, Bangladesh, Brunei, Kemboja, China, Mesir, Jerman, Indonesia, Jepun, Kazakhstan, Laos, Pakistan, Filipina, Qatar, Rusia, Arab Saudi, Singapura, Thailand, Turki, Emiriah Arab Bersatu , Uzbekistan dan Vietnam.

Secara purata, tambah Zaliha, setiap perjalanan Anwar negara membelanjakan RM351,282 dan ia lebih rendah daripada apa yang diketahui mengenai kos perbelanjaan lawatan rasmi oleh empat perdana menteri terdahulu.

Dipetik laporan media, tiada data umum diisytiharkan berkait nilai yang dibelanjakan bagi menampung kos lawatan rasmi Ismail Sabri Yaakob dan Muhyiddin Yassin semasa mereka menjadi perdana menteri.

Ketika pentadbiran kali kedua Dr Mahathir Mohamad, kerajaan membelanjakan RM14.3 juta untuk 22 lawatan perdana menteri dari Mei 2018 hingga Julai 2019 atau puratanya kira-kira RM650,000 bagi setiap perjalanan.

BACA LAGI: Kerajaan fokus jadikan Malaysia destinasi dan hab pelaburan hijau utama serantau

Semasa pentadbiran Najib Razak, kira-kira RM1 juta (AS$247,352) dibelanjakan untuk delegasi Malaysia ke AS – termasuk Najib – menginap di Trump International Hotel.

Jumlah kos perjalanan ke AS itu dan lawatan rasmi lain dilakukan Najib pada 2017 tidak diketahui.

Related Articles

Back to top button