Nilai kemanusiaan tidak mampu diganti dengan teknologi AI, tegas PM Anwar
Kebergantungan kepada peranti tidak dapat menggantikan nilai kemanusiaan, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di Kuala Lumpur pada Jumaat beliau berkata, dengan berkembangnya teknologi kecerdasan buatan (AI), pelajar digesa untuk tidak meninggalkan budaya membaca dan berfikir secara kritikal untuk menimba ilmu.
“Anda boleh bergantung (pada AI). Cuma jangan tinggalkan yang asas. Anda perlu membaca, belajar dan berfikiran kritis baru boleh memanfaatkan AI dengan sebaiknya.
“Kebergantungan keterlaluan kepada AI (menyebabkan) kita tak baca lagi dah (buku) dan (cari) semua jawapan di Google. Tapi di Google itu jawapannya (secara) rumusan dan ringkasan.
“Yang tidak kita lakukan adalah membaca. Membaca itu adalah apabila kita menelaah buku, lihat daripada keseluruhan pemikiran, kita tidak ambil (hanya) satu cebisan (ilmu),” katanya sebagai menjawab soalan seorang peserta.
Mengulas lanjut Anwar berkata, walaupun kandungan yang dikeluarkan oleh AI itu tepat, namun ia tidak semestinya bermakna konteks kepada maklumat itu juga bertepatan.
“Bukan bermakna maklumat (daripada AI itu tidak betul tetapi konteks juga kadang-kadang tidak betul. Dalam apa-apa pun, termasuk belajar al-Quran ada teks (kandungan) dan konteks, ada ayat, tafsir dan takwil. Itu daripada awal kita dilatih untuk apa yang disebut sebagai terjemahan and tafsiran,” katanya.