PM Anwar mahu tekanan lebih keras dikenakan terhadap Israel
Dunia harus memberikan tekanan lebih kuat bagi memastikan kekejaman dan kezaliman rejim Israel terutama terhadap Gaza dapat dihentikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun ada pemimpin luar negara yang menasihatkan beliau untuk tidak terlalu ‘berkeras’ dalam isu Palestin, namun beliau tetap dengan pendiriannya supaya keadilan dalam nilai kemanusiaan terutama kepada Palestin dapat ditegakkan.
“Memang ada sahabat-sahabat saya nasihat, Anwar kita negara kecil jangan keras sangat. Saya kawan baik juga (dengan pemimpin luar), di Vientiane (Laos) saya jumpa Anthony Blinken (Setiausaha Negara Amerika Syarikat) satu jam.
“Bab pelaburan, bab Gaza dan Lubnan kita sebut. Amerika kata janganlah baik dengan Rusia, saya kata itu salah kamu jangan suruh kami pula. Kami negara merdeka berdaulat, kami buat keputusan untuk rakyat dan negara kami,” kata Anwar.
Beliau berkata begitu pada program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UPNM Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad.
Sementara itu Anwar menegaskan, dunia Islam perlu bersatu dan menunjukkan kekuatan untuk memberi tekanan kepada Israel dan negara sekutunya.
BACA LAGI: Malaysia akan terus jadi pembela kepada Palestin
Perkara itu telah disampaikan kepada Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman ketika mengundangnya untuk menghadiri persidangan khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Riyadh.
“Putera (Mahkota Arab Saudi) Mohammed bin Salman maklum ada persidangan khas OIC di Riyadh dan minta saya hadir, jadi saya jawab insya-Allah saya cuba.
“Tapi saya kata harus ada yang kuat sikit (tekanan) kalau tidak macam lemah,” tambahnya.