Fahmi mulakan lawatan kerja di Turkiye, wakili Asia di COMCEC
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memulakan lawatan kerja tiga hari ke Turkiye bagi mewakili Asia di Sesi Ke-40 Jawatankuasa Tetap Kerjasama Ekonomi dan Komersial (COMCEC) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Sesi tersebut akan diadakan di Lütfi Kirdar Congress Centre di Istanbul sehingga 5 Nov 2024.
Sebagai platform untuk menangani cabaran ekonomi serta menyumbang kepada usaha pembangunan negara-negara anggota, ia disertai delegasi negara-negara anggota, pemerhati dan wakil Sekretariat Agung, institusi gabungan OIC selain organisasi antarabangsa lain.
Pada masa sama, ia turut berperanan sebagai platform dialog dasar untuk menghasilkan serta menyebar luas pengetahuan, berkongsi pengalaman dan amalan terbaik, membangunkan persefahaman bersama serta dasar bagi negara-negara anggota.
BACA LAGI: Lesen media sosial- kerajaan tidak layan permohonan Meta
Pada kunjungan rasmi ini Fahmi dijadualkan bertemu kalangan diaspora Malaysia di negara itu.
Beliau juga dijadual memberi kenyataan sebagai wakil Kumpulan Asia negara-negara anggota OIC di COMCEC dan menjadi antara tiga wakil selain Qatar serta Senegal.
Selain itu beliau akan menghadiri mesyuarat dua hala bersama negara-negara anggota OIC bagi meninjau bidang yang berpotensi dalam meningkatkan kerjasama berkaitan komunikasi dan keselamatan dalam talian.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu juga akan menyertai satu sesi perkongsian pendapat bertemakan ‘Digital Transformation of Payment Systems in OIC Member Countries’ (Transformasi Digital Sistem Pembayaran di Negara Anggota OIC).