PM Anwar hadiri CIIE di China atas jemputan Li Qiang
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ketujuh (CIIE ke-7) di Shanghai atas jemputan daripada rakan sejawatnya Li Qiang.
Wisma Putra melalui satu kenyataan memaklumkan, Malaysia diberi penghormatan sebagai “Country of Honour” di CIIE ketujuh pada tahun ini.
Lawatan kerja perdana menteri bermula hari ini hingga Khamis akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
“Semasa di Shanghai, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dua hala bersama Li Qiang bagi berbincang hubungan dua hala susulan perjumpaan mereka di Putrajaya pada 19 Jun 2024 serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
“Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama dan merasmikan Astaka Malaysia serta Astaka Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), termasuk mengadakan perjumpaan bersama syarikat perniagaan dan mengadakan sesi meja bulat dengan kapten industri dari China,” menurut kenyataan itu.
CIIE merupakan inisiatif Kerajaan China yang menyediakan satu platform bagi mempromosi dan mengeksport barangan dan perkhidmatan ke China.
Sementara itu Wisma Putra juga memaklumkan, Perdana Menteri akan melawat Beijing selama dua hari bermula 6 November dan dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping.
BACA LAGI: Malaysia, China meterai MoU tingkat kerjasama bidang penyiaran
Semasa lawatan itu Perdana Menteri turut akan menyampaikan syarahan terbuka bertajuk “Bridging Futures: Strengthening Malaysia-China Relations and ASEAN Centrality in a Shifting Global Order” di Universiti Peking dan melawat Huawei Executive Briefing Centre.
“Lawatan ini dijangka mengeratkan lagi hubungan dua hala yang kukuh sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China pada tahun ini,” tambah Wisma Putra.