Semasa

Bekas menteri cabar Ahli Parlimen Pas ulang fitnah di luar dewan

Bekas Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar menempelak tuduhan fitnah Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim terhadapnya.

Menerusi sidang akhbar di Pusat Media Parlimen pada Selasa Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah menegaskan, tuduhan penemuan wang tunai berjumlah RM94 juta di kediaman seorang bekas menteri dari DAP bukan sahaja tidak berasas, malah satu serangan politik bersifat fitnah untuk mencemar reputasi dan integritinya dan parti yang diwakili.

“Saya amat tersinggung dengan kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pendang, walaupun tidak tahu siapa yang dirujuk tapi melihat kepada fakta ia ditunding kepada saya.

“Jadi, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memberi penjelasan berkaitan isu ini,” tegasnya.

Awang yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat pada Isnin pada membangkitkan dakwaan penemuan wang tunai tersebut yang mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat.

Susulan itu SPRM tampil menjelaskan bahawa agensi itu atau Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki tidak pernah membuat sebarang kenyataan berhubung perkara seperti dinyatakan Awang.

“Saya turut menghargai tindakan segera SPRM dalam menjernihkan situasi dan saya amat hargainya.

“Jika benar beliau (Awang) memiliki bukti yang sah, beliau seharusnya menyatakan tuduhan ini diluar dewan dan berani menyebut nama individu dikaitkan,” cabarnya.

Sementara itu seorang Ahli Parlimen kerajaan menggesa Pas menyatakan pendirian susulan tindakan beberapa ahli Parlimennya mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan palsu.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Koo Poay Tiong berkata, penjelasan tersebut penting agar selari dengan perjuangan parti yang dipimpin Tan Sri Abdul Hadi Awang itu.

BACA LAGI: Setuju cadangan Ahli Parlimen difitnah dalam Dewan Rakyat bawa kes ke Mahkamah – Johari

“Sebelum ini, Ahli Parlimen Kepala Batas (Dr Mastura Muhammad) mengatakan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng ada hubungan dengan Chin Peng. Terbaharu Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim buat cerita rekaan.

“Jadi, saya hendak tanya, adakah ini yang dibenarkan oleh Pas (keluar kenyataan fitnah).Adakah itu yang diajar? Saya hendak Pas jawab,” katanya.

Related Articles

Back to top button