Kerajaan bakal jawatankuasa kerja perkukuh sistem keadilan jenayah
Kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) bakal terus memperkukuh sistem keadilan negara .
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, bagi tujuan itu, sebuah Jawatankuasa Kerja Undang-Undang bersama Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bakal ditubuhkan antara lain untuk menyokong pembaharuan berterusan dalam perlindungan kanak-kanak, keadilan jenayah dan jenayah berkaitan siber seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI).
“Suka saya maklumkan baru-baru ini, saya telah mengadakan perjumpaan dengan Ghada Fathi Waly iaitu Ketua Pengarah merangkap Pengarah Eksekutif Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Vienna (UNOV) dan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) bersama dengan Ikram Mohammad Ibrahim iaitu Duta Besar Malaysia ke Republik Austria.
“Dalam perjumpaan ini, UNODC telah berkongsi mengenai cadangan Konvensyen Jenayah Siber Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pertama yang sedang dipertimbang oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya pada sesi menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di peringkat dasar bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Rabu.
Mengulas lanjut Azalina berkata, konvensyen baharu itu dilihat sebagai langkah yang sangat penting dalam pencegahan dan penyiasatan jenayah siber serta bagi tujuan pendakwaan penjenayah siber.
BACA LAGI: Menteri beri penjelasan isu RUU tahanan di rumah di Khamis ini
Ia bertujuan menangani isu kritikal termasuk penderaan seksual kanak-kanak dalam talian, bahan penderaan seksual kanak-kanak dan penyebaran imej intim tanpa persetujuan.
Malah dalam usaha merealisasikan cadangan itu, Azalina berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan penubuhan Pasukan Reformasi Perundangan dalam ucapan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lepas sebagai antara komitmen berterusan kerajaan bagi memperkasa pembaharuan undang-undang dan akta lapuk di Malaysia.