Semasa

Cadangan Ahli Parlimen PN supaya muzium ajaran sesat ditubuhkan tak masuk akal

Saranan seorang Ahli Parlimen pembangkang agar aset GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) seperti hotel dan premis diambil alih untuk dijadikan muzium ajaran sesat dikritik dua mufti.

Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad yang mempersoalkan kewajaran cadangan Ahli Parlimen Langkawi Suhaimi Abdullah itu berkata, konsep muzium adalah untuk mempamerkan sesuatu khazanah bernilai dan boleh dibanggakan, bukan menonjolkan perkara tidak memberi manfaat seperti ajaran sesat.

“Kalau kita tengok konsep muzium, tempat kita nak letak bahan-bahan yang boleh jadi bahan sejarah yang dibanggakan, ajaran sesat ini nak bangga apa? Tak perlu ditonjol-tonjolkan.

“Apa yang diperlukan sekarang adalah bimbingan bukan muzium, wujudkan lebih banyak pusat-pusat bimbingan untuk atasi ajaran sesat,” kata Mohamad Shukri dipetik laporan FMT.

Terdahulu. Suhaimi Abdullah di Dewan Rakyat mencadangkan supaya kerajaan menukarkan aset GISBH di kawasan diwakilinya sebagai muzium ajaran sesat.

Pengerusi Parti Bersatu negeri Kedah itu berkata, langkah tersebut bagi membolehkan orang ramai menjadikannya sebagai pusat rujukan ajaran sesat di dunia.

Sementara itu, Mufti Pahang Asmadi Mohamed Naim berkata menjadi tanggungjawab pihak berwajib menguar-uarkan ajaran sesat yang menular dalam kalangan masyarakat, namun beliau melihat tidak ada keperluan sebuah muzium khas mengenai kesesatan itu ditubuhkan.

“Kita akui perlu buat hebahan tetapi bukan (dengan mewujudkan) muzium,” katanya.

BACA LAGI: Henti sikap suka beri gelaran buruk kepada pihak lain – bekas Mufti

Setakat ini, enam negeri mengisytiharkan ajaran dan amalan pengikut GISBH sebagai sesat dan bercanggah Islam iaitu Perlis, Selangor, Pahang, Melaka, Sabah dan Pulau Pinang.

Tindakan itu dibuat kerana pengikutnya meneruskan kepercayaan Al-Arqam dan mempercayai bahawa Asaari Muhammad tidak mati selain masih meneruskan amalan Aurad Muhammadiah atau Zikir Agung versi Darul Arqam yang difatwakan sesat sebelum ini.

Related Articles

Back to top button