KDN pertahan tindakan guna SOSMA terhadap pemimpin GISBH
Kerajaan mempertahankan tindakan menahan pemimpin GISB Holdings (GISBH) dan 21 pengikut di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata pertimbangan itu dibuat pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas siasatan teliti dilaksana berhubung kes yang disiasat bagi kesalahan jenayah terancang di bawah Seksyen 130B (1) Kanun Keseksaan.
“SOSMA dikenakan ke atas 22 pimpinan dan ahli GISBH berdasarkan siasatan di bawah Seksyen 130B (1) Kanun Keseksaan iaitu jenayah terancang
“Ia berdasarkan beberapa elemen iaitu pelakunya lebih dua orang, kedua, membabitkan satu objektif, iaitu di sini, eksploitasi kanak-kanak.
“Ketiga, ada elemen keuntungan dari segi material. Maka siasatan polis menemui semua kriteria yang melayakkan (polis) mengkategorikannya jenayah terancang,” katanya.
Pendirian itu dinyatakan Saifuddin pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Untuk rekod, pada 23 Oktober lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan 21 pengikutnya didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020.
Selain Nasiruddin, 65, turut didakwa isterinya, Datin Azura Md Yusof, 57, dan seorang anak bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari, 32.
BACA LAGI: Selangor pantau pemulihan kanak-kanak diselamatkan dari GISBH
Sebelum ini beberapa negeri telah mengeluarkan fatwa berkaitan fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ahli GISBH dan rangkaiannya difatwakan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.
Jawatankuasa Fatwa negeri Pulau Pinang mendapati dari sudut muamalah ekonomi, GISBH mengamalkan ekonomi mempunyai unsur perhambaan dan penindasan terhadap mereka terlibat serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak dan wanita.