Kerajaan MADANI komited pastikan masyarakat India terbela
Kerajaan MADANI komited melaksana pelbagai program pembangunan keusahawanan dan kerjaya khusus bagi memastikan sosioekonomi masyarakat India ditingkatkan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Seri R Ramanan berkata, sebanyak RM130 juta diperuntukkan menerusi Belanjawan 2025 untuk manfaat komuniti itu yang merangkumi RM100 juta kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dan RM30 juta bagi Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah Tekun Nasional.
Selain itu, pelbagai bantuan lain untuk komuniti itu turut disediakan di bawah kementeriannya susulan pertambahan dana pembiayaan kepada usahawan berjumlah RM136 juta.
“Inisiatif di bawah KUSKOP seperti program Prosperity, Empowerment and A New Normal (PENN) berjumlah RM50 juta di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), program pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) juga berjumlah RM50 juta sudah disediakan.
“Selain itu, program Business Accelerator untuk syarikat milikan India bersaiz kecil (I-BAP) berjumlah RM6 juta dan Program SPUMI Goes Big berjumlah RM30 juta. Ini tidak termasuk koperasi India yang telah mendapat bantuan secara one-off untuk mulakan aktiviti,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di Dewan Rakyat .
Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh diberikan mandat untuk menjawab soalan dan isu berkaitan dengan hal ehwal masyarakat India dan MITRA pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025.
BACA LAGI: KUSKOP bakal bina lebih banyak premis Tamu Desa
Sementara itu Ramanan melalui perbahasannya turut menggalakkan lebih usahawan India merebut semua peluang dan inisiatif yang disediakan bagi meningkatkan taraf ekonomi kaum itu sekali gus membantu merancakkan lagi ekonomi negara.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) cukup komited untuk memastikan nasib dan kebajikan masyarakat India terjamin. Beliau akan memastikan nasib dan masa depan komuniti India akan sentiasa dijaga serta diberi perhatian selain mendapat nikmat daripada pembangunan negara selaras visi Malaysia MADANI,” katanya.