Veteran tentera nikmati kenaikan pencen mulai Disember
Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berpencen sebelum Januari 2013 akan menerima kenaikan pencen sebanyak 15 peratus.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kenaikan pencen itu susulan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), bermula 1 Disember ini.
Sehubungan itu jelasnya veteran terbabit akan menerima pelarasan pencen fasa pertama sebanyak lapan peratus Disember ini berdasarkan gaji akhir pada 2012 dan pelarasan pencen fasa kedua sebanyak tujuh peratus akan dilaksanakan pada awal tahun 2026
“Sekalipun kes (kenaikan pencen veteran berpencen sebelum Januari 2013) belum diputuskan di Mahkamah Rayuan, namun susulan pelaksanaan SSPA yang diumumkan kerajaan, pelarasan pencen kepada semua pesara termasuk veteran ATM akan dibuat.
“Di bawah pelarasan ini, veteran yang berpencen sebelum Januari 2013, turut akan menerima kenaikan sebanyak lapan dan tujuh peratus menjadikan keseluruhannya sebanyak 15 peratus.
“Hanya kerajaan Madani diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menyelesaikan isu penyelarasan yang berlanjutan sekian lama itu,” katanya di Dewan Rakyat.
Mohamad Khaled berkata begitu pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2015 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Sebagai rekod, seramai 50 pesara ATM antaranya berpangkat mejar, leftenen, staf sarjan dan prebet memfailkan saman
Pada November 2022, seramai 50 pesara ATM antaranya berpangkat mejar, leftenen, staf sarjan dan prebet dilapor telah memfailkan saman berkaitan pelarasan pencen mereka kepada kerajaan.
BACA LAGI: Pesara turut akan terima manfaat pelarasan pencen SSPA, jelas KPPA
Menerusi saman itu, plaintif memohon pengisytiharan bahawa defendan memungkiri peruntukan di bawah Perkara 137 atau Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera Malaysia 1972 dalam kegagalan masing-masing untuk melakukan penyelarasan pencen baharu untuk pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013.
Dalam saman yang turut menamakan Perdana Menteri, Menteri Kanan Pertahanan Malaysia dan Majlis Angkatan Tentera sebagai defendan itu mereka memohon pencen semua pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 diselaras mengikut kadar dan cara seperti pencen pesara ATM selepas 1 Januari 2013.