Semasa

Atasi ketirisan minyak masak bersubsidi, KPDN kaji mekasime khusus

Mekanisme khusus untuk menjejaki rantaian pengedaran minyak masak bersubsidi mungkin diperkenal bagi menangani ketirisannya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata, pengenalan nombor kumpulan (batch number) pada minyak masak peket dilihat mampu mengesan ketirisan yang berlaku di peringkat peruncit, pemborong dan pembungkus.

“Kita telah gempur beberapa kilang pembungkus minyak masak dan dapati ada berlaku ketirisan.

“Ada jenama minyak masak yang berada di tempat tidak sepatutnya tetapi apabila tanya peruncit, pemborong dan pembungkus, tiada jawapan … jadi macam mana kita hendak tengok siapa yang bersalah dalam ketirisan ini.

“Kalau ada nombor kumpulan di setiap peket minyak masak ini, kita boleh tahu ketirisan itu datang dari pihak mana,” katanya kepada pemberita selepas program turun padang dan operasi Kita Gempur Zon Utara di Kedah di Kota Setar pada Jumaat.

Inisiatif Kita Gempur dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Oktober dalam usaha menangani ketirisan, di samping memastikan subsidi sampai kepada golongan sasar.

Ia juga merupakan langkah strategik kerajaan untuk membina gerakan massa bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang membabitkan barang kawalan serta barang kawalan bersubsidi.

Melalui pemeriksaan mengejut dilakukan ke atas dua kilang memproses ayam dan tiga premis runcit di sekitar daerah itu semalam, KPDN telah menyita 108 tong LPG bersubsidi bernilai lebih RM10,500 dan kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

BACA LAGI: Inisiatif ‘Gempur’ dilancarkan, KPDN sasar benteras manipulasi perniagaan

Sementara itu sebagai mengulas pengenalan nombor kumpulan pada minyak masak bersubsidi itu beliau berkata, a pada masa ini masih di peringkat cadangan, namun ia sudah dilaksana beberapa syarikat.

“Namun, sudah ada syarikat-syarikat yang melaksanakannya, mungkin kita mengambil sebagai amalan terbaik dan mungkin kita akan kaji lebih mendalam, (serta) mungkin ini merupakan satu jalan penyelesaian (isu ketirisan),” tambahnya.

Related Articles

Back to top button