Kabinet teliti Isu tatakelola, tadbir urus GLC dan GLIC
Mesyuarat Kabinet pada Jumaat meneliti pelbagai isu membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC)
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, aspek yang turut diberi tumpuan termasuklah isu ganjaran serta bonus syarikat berkenaan bagi memastikan aspek tadbir urus serta tatakelola ditambah baik.
“Jemaah Menteri meneliti isu tadbir urus bagi GLC dan GLIC.
“Tidak ada perbincangan khusus tetapi secara umumnya ada diberikan tumpuan termasuk isu ganjaran dan bonus yang menjadi keutamaan ialah aspek tatakelola serta tadbir urus” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Jumaat.
Sementara itu Fahmi menyatakan keyakinan aspek pengurusan dan juga tatakelola bagi GLC dan GLIC akan bertambah baik susulan pindaan Akta Audit yang membolehkan Ketua Audit Negara melakukan audit terhadap mana-mana entiti yang menerima dana awam.
Isu berkaitan syarikat berkaitan kerajaan menjadi perhatian umum susulan siasatan keatas FashionValet Sdn Bhd (FV) yang memperoleh pelaburan besar daripada Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan seterusnya mencatatkan kerugian lebih RM40 juta.
Susulan itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Khazanah melakukan audit dalaman bagi menyiasat kerugian pelaburan itu.
BACA LAGI: PM Anwar arah Khazanah siasat kerugian pelaburan
Manakala Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki melalui laporan media berkata ada transaksi mencurigakan dikesan sejak 2018 hingga tahun lalu berdasarkan siasatan yang dijalankan setakat ini.
Bagaimanapun jelasnya, siasatan kes itu akan mengambil masa disebabkan beberapa faktor yang mungkin merumitkan siasatan.