KKM tegaskan, penggunaan ubat generik selamat dan berkesan
Penggunaan ubat-ubatan generik adalah selamat, berkesan dan memberikan natijah terbaik berdasarkan penilaian teliti oleh pengamal perubatan yang bertauliah tentang keperluan klinikal pesakit.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dalam soal kualiti, keselamatan dan kesihatan pesakit semata-mata untuk mengurangkan kos rawatan, termasuk untuk ubat-ubatan.
“Satu kajian berskala besar telah dijalankan di Austria melibatkan lebih sembilan juta orang menunjukkan bahawa penggunaan ubat-ubatan generik membantu mengurangkan kos penjagaan kesihatan tanpa menjejaskan kesihatan pesakit bagi rawatan penyakit kronik seperti hipertensi, hiperkolesterol dan diabetes.
“Kajian turut mendapati ubat-ubatan generik berfungsi dengan baik seperti ubat inovator dalam mencegah masalah jantung yang serius dan kematian,”
“Semua ubat, termasuk ubat generik perlu melalui syarat dan penilaian yang sangat ketat sebelum ia didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di Malaysia untuk memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat,” kata kenyataan tersebut.
Kenyataan itu sebagai maklum balas kepada sebuah laporan portal dalam talian pada Selasa yang memetik kenyataan sebuah persatuan farmaseutikal berhubung dakwaan penggunaan ubat generik mampu memudaratkan pesakit.
Kementerian itu dalam kenyataan sama menegaskan, pihaknya memandang serius kenyataan tidak berasas pihak tidak bertanggungjawab yang membangkitkan kegusaran pesakit dan tidak akan teragak-agak untuk bertindak tegas.
BACA LAGI: KKM nafi tuduhan kerajaan naikkan caj rawatan hemodialisis
“KKM ingin menjelaskan bahawa Dasar Ubat Nasional (DUNas) yang dibangunkan pada 2006 adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan semua rakyat Malaysia sentiasa mendapat akses kepada ubat-ubatan penting.
“Salah satu strategi utama di bawah polisi ini adalah Dasar Ubat Generik yang menggalakkan penggunaan ubat-ubatan generik dalam sektor kesihatan awam dan swasta, bertujuan memperkukuh akses kepada ubat-ubatan pada harga berpatutan dan mampu dimiliki dengan mengekalkan kualiti, keselamatan dan keberkesanannya,” tambah kenyataan tersebut.