Global

PM Anwar ketuai delegasi Malaysia ke AELM-31 di Peru

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-31 yang bakal berlangsung di Lima, Peru.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menerusi satu kenyataan berkata, perdana menteri akan diiringi Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan ke AELM bertemakan “Empower. Include. Grow.” dari 14 hingga 16 November itu.

“Penyertaan peringkat tertinggi ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk terlibat secara aktif dan konstruktif dalam kerangka APEC, sekali gus menegaskan komitmen negara dalam memperkukuh daya tahan ekonomi, pertumbuhan mampan, dan kemakmuran inklusif,” kata MITI.

Sempena lawatan rasmi ke Lima, Perdana Menteri juga akan mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan CEO APEC 2024, bersama wakil-wakil pengurusan tertinggi daripada 17 syarikat korporat terkemuka Malaysia untuk berkongsi pendekatan strategik Malaysia terhadap revolusi kecerdasan buatan (AI).

Beberapa pertemuan dua hala dengan beberapa rakan sejawat juga telah diatur untuk memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia, meneroka peluang integrasi ekonomi yang lebih mendalam dalam APEC, serta membincangkan bagaimana perdagangan dan pelaburan dapat membantu mengurangkan kesan cabaran geopolitik dan geoekonomi semasa.

“Perdana Menteri akan turut serta dalam Dialog Tidak Formal Pemimpin Ekonomi APEC bersama Tetamu, Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dengan Pemimpin Ekonomi APEC, serta pertemuan dengan pemimpin-pemimpin industri yang diatur oleh MITI.

BACA LAGI: Malaysia akan memimpin usaha lindungi alam sekitar peringkat serantau

“Bagi mempertingkatkan penglibatan delegasi perniagaan, Anwar akan menghadiri satu mesyuarat meja bulat bersama pemimpin industri utama dari Peru bagi menyediakan platform bagi pertukaran bermakna dan potensi kerjasama perniagaan kepada perniagaan (B2B).

“Perbincangan ini bertujuan untuk meraih potensi pelaburan yang akan mencipta peluang pekerjaan berkualiti tinggi di Malaysia, selaras dengan keutamaan strategik yang digariskan dalam Kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), dan inisiatif ekonomi negara yang lain,” kata kementerian itu.

Sebagai Pengerusi APEC 2024, Peru, diketuai oleh Presiden Dina Ercilia Boluarte Zegarra, akan mengetuai perbincanga yang memberi tumpuan kepada pengukuhan integrasi ekonomi, mempromosikan pertumbuhan mampan dan inklusif, memajukan transformasi digital, meningkatkan keterjaminan makanan, serta memupuk daya tahan rantaian bekalan dalam menghadapi cabaran global

Related Articles

Back to top button