Belanjawan Selangor dijangka terus tumpu pembangunan hub sekuriti makanan negeri
Belanjawan Selangor 2025 yang akan dibentangkan Jumaat depan dijangka terus akan menumpukan usaha membangunkan hub sekuriti makanan di negeri itu bagi menjamin bekalan makanan secara berterusan.
EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim dipetik laporan Selangorkini berkata, ke arah itu penekanan akan diberikan bagi meningkatkan penghasilan sumber tanaman pertanian berkualiti tinggi dan pembiakbakaan haiwan ternakan.
“Insyaallah bajet disediakan untuk negeri Selangor menghasilkan proses pembakaan daging lembu melalui penggunaan high tech value (teknologi tinggi) dan tanaman yang kita (negeri) rasa boleh memberi impak besar terhadap tahap sekuriti makanan di negara kita.
“Selain itu, tumpuan diberikan untuk pembangunan gudang bekalan makanan di Kuala Selangor yang menjadikan negeri pertama laksanakan usaha ini, itu yang saya harapkan,” kata ADUN Pandan Indah itu.
Sebelum ini Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, belanjawan kali ini akan membentangkan beberapa inisiatif khusus bagi memacu ekonomi serta menarik pelaburan ke negeri itu.
BACA LAGI: Kerajaan Selangor imbang pembangunan dengan kebajikan melalui Belanjawan
Selain itu tambahnya pentadbiranya berhasrat untuk mengimbangkan semua kerancakan pembangunan dengan pelbagai program kebajikan yang akan terus diperkasakan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beberapa lagi inisiatif khusus bakal dibentang bagi menjamin kemakmuran ekonomi dapat dinikmati bersama.