Semasa

Dasar Peluang Kedua: Konvensyen nasional bakal diadakan tahun depan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan satu konvensyen bakal diadakan bagi menghalusi pelaksanaan Dasar Peluang Kedua kepada syarikat yang muflis.

Bercakap kepada pemberita selepas satu program di Kota Tinggi pada Sabtu beliau berkata, konvensyen peringkat nasional itu akan melibatkan Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) serta pihak berkaitan dan pemegang taruh untuk untuk membincangkan keperluan memperluas Dasar Peluang Kedua kepada syarikat serta pindaan undang-undang berkaitan.

Ia dijangka diadakan pada suku pertama tahun hadapan dan kemudian bakal disusuli konvensyen sama peringkat negeri.

“Saya tak tahu pada aspek undang-undang sama ada kita nak melihat kepada pindaan undang-undang untuk membantu atau lebih kepada struktur (bantuan),” katanya.

Mengulas lanjut Azalina berkata, konvensyen itu sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2025 bulan lalu agar Dasar Peluang Kedua diperluas kepada syarikat-syarikat yang telah dibankrapkan.

Dasar Peluang Kedua merupakan satu inisiatif Kerajaan Perpaduan untuk membela nasib rakyat yang bankrap dengan jumlah hutang berskala kecil dengan melepaskan mereka daripada kebankrapan melalui syarat-syarat tertentu.

BACA LAGI: Kerajaan laksana pelbagai inisiatif, semua rakyat dapat manfaat 

Setakat ini ia telah memberikan manfaat kepada lebih 170,000 rakyat yang diisytihar bankrap untuk membina semula kehidupan dan melangkah ke hadapan.

Selain hasrat Perdana Menteri agar peluang itu diperluas kepada syarikat, Dasar Peluang Kedua akan diperluaskan kepada golongan muda berusia 40 tahun dan ke bawah yang mempunyai hutang tidak melebihi RM200,000 bermula tahun ini.

Related Articles

Back to top button