Retorik agama, kaum jadi ancaman perpaduan – Sultan Nazrin
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan kebimbangan berlaku perpecahan dalam kalangan umat Islam serta kaum di negara ini.
Titah baginda, perpecahan semakin mengancam perpaduan warga apabila agama dan kaum dijadikan benang tenunan untuk menganyam hamparan politik untuk menyuntik prasangka atau racun curiga.
“Dan apabila agama dan kaum dijadikan mata wang yang sah (legal tender) untuk meraih laba politik, retorik-retorik atas nama agama yang bernada keterlaluan dan slogan-slogan atas nama kaum yang bersifat provokatif semakin digemakan.
“Retorik dan slogan sedemikian, laksana bara yang semakin menyalakan puntung, menyalakan unggun. Jika tidak segera dibendung, akan menyemarakkan api permusuhan yang boleh memusnahkan negara,” titah baginda pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-68 di Istana Iskandariah pada Sabtu.
Baginda Sultan Nazrin turut menzahirkan teguran kepada kalangan yang dilihat memperdengarkan suara-suara yang tanpa segan silu mempersendakan institusi raja.
Titah baginda, kebelakangan ini perbuatan mahu mengetepikan adab dan memijak adat semakin dipelopori dalam kalangan buta huruf terhadap sejarah negara, cetek tentang tamadun bangsa dan berminda budaya pelarian serta tidak ada akar budaya.
“Sesungguhnya raja pemerintah itu di samping berperanan penting untuk memenuhi tanggungjawab pemerintahan menurut dalam Perlembagaan Negara, turut berperanan utama menghubungkan tradisi dengan modenisasi, menghidupkan kekayaan sejarah dan keagungan tamadun bangsa yang telah dibina melalui amalan budaya yang penuh adab lagi beradat, kehalusan budi dan keindahan bahasa.
“Lalu dijadikan asas untuk membangunkan negara bangsa yang berdisiplin, maju, moden lagi progresif. Hal ini menjadi amat relevan, bertambah relevan, malah semakin relevan, ketika masyarakat kita sedang berhadapan dengan pelbagai perbuatan subversif budaya dan sabotaj budaya.
“Terlalu berharga untuk tamadun yang telah dibina, dibenarkan untuk dimusnahkan kerana perbuatan yang dicetuskan oleh individu dan organisasi yang longgar pegangan adat dan kosong fahaman adabnya; cerdiknya tidak boleh diikut dan dungunya tidak boleh diajar, tetapi bernafsu besar untuk memperkenalkan tatacara baharu, bersuara dan berkelakuan sumbang tidak bertempat, mempromosikan tingkah dan laku yang sangat bercanggah dengan kesopanan adat dan kehalusan adab,” titah Sultan Nazrin.
Sehubungan itu, baginda bertitah rakyat perlu disedarkan untuk menolak perbuatan pencerobohan budaya serta tingkah dan laku yang melanggar sempadan adab dan adat, tidak boleh dibenarkan menjadi warga yang turut tidak bertamadun, miskin adab – papa adat.
BACA LAGI: Sultan Selangor titah elak racuni fikiran dengan isu 3R
“Negara ketika ini memerlukan kebijaksanaan dan hikmah pimpinan, yang membolehkan rakyat berasa senang dan selesa, tidak memiliki prasangka, tidak berasa curiga, di sebaliknya berminda terbuka menghargai kepelbagaian yang dikurniakan di bumi ini.
“Kaum, budaya dan bahasa yang pelbagai adalah antara ciptaan yang menunjukkan kebesaran Ilahi. Negara Malaysia yang begitu pelbagai rakyatnya telah ditentukan oleh ALLAH SWT,” titah baginda.