Kajian teknikal pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok bermula tahun depan
Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan memulakan kajian teknikal projek pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok bermula tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa pada Isnin berkata, kajian diterajui Pasukan Khas Jambatan Labuan-Sabah di bawah JWP itu bagi melihat secara mendalam pelbagai aspek, termasuk kebolehlaksanaan cadangan pembinaan jambatan berkenaan.
“Kita telah dapat peruntukan sebanyak RM500,000, yang ini telah dimaklumkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) sendiri kepada saya dan ini bajet permulaan untuk kita mulakan kajian jelas bagi jambatan tersebut.
“Kami tidak akan berhenti berusaha untuk memajukan perbincangan mengenai projek ini, namun pada masa sama, kita juga perlu melihat kepada usaha lain yang dapat meningkatkan hubungan di Labuan,” katanya dalam satu sidang media selepas Sesi Penggulungan Sidang Belia Wilayah Persekutuan.
Projek Jambatan Labuan-Menumbok dijangka membawa perubahan besar kepada infrastruktur Labuan, memudahkan perjalanan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi serta sosial di kawasan tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei lalu menzahirkan sokongan terhadap cadangan pembinaan jambatan bagi menghubungkan Labuan dan tanah besar Sabah
Sementara itu menurut Zaliha, selain pembinaan jambatan, pihaknya turut melihat dari aspek pengangkutan udara dan menyifatkan penambahan penerbangan oleh syarikat penerbangan AirAsia seperti diumumkan baru-baru ini adalah satu perkembangan positif.
BACA LAGI: Kerajaan MADANI komited bangun semula ekonomi Labuan
Terdahulu Zaliha dalam ucapan penggulungannya berkata, rancangan Struktur Labuan 2040 yang dilancarkan pada Januari lalu, menjadi panduan utama dalam merangka dasar pembangunan fizikal, ekonomi, alam sekitar dan sosial di Wilayah Persekutuan Labuan.
Dokumen itu telah menetapkan visi pembangunan Labuan menjelang 2040, dengan penekanan kepada pembangunan mampan dan berdaya saing sekaligus mengatasi isu asas seperti bekalan elektrik, air dan meningkatkan capaian internet.