Parlimen Belia Wilayah Persekutuan sokong resolusi lucut keanggotaan Israel dari PBB
Sidang Belia Wilayah Persekutuan (SBWP) secara sebulat suara meluluskan usul khas menyokong usaha Malaysia untuk melucutkan keanggotaan rejim Zionis Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Usul tersebut dibangkitkan wakil Labuan, Irham Zulhilmi Mohd Johan pada Mesyuarat Kedua Sidang Belia Wilayah Persekutuan Penggal 2024 dipengerusikan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman di Kuala Lumpur.
“Isu Palestin membabitkan sejarah penindasan yang berlarutan serta kekejaman yang diakui sebagai genosid oleh pelapor khas PBB.
“Golongan belia mempunyai tanggungjawab moral untuk menolak segala bentuk penindasan dan keganasan.
“Sebagai generasi pelapis, peranan belia dalam menyokong resolusi ini adalah penting bagi menegakkan keadilan dan hak asasi manusia,” katanya.
Irham membawakan usul tersebut susulan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 4 November lalu bahawa Malaysia sudah menyediakan satu draf resolusi mencadangkan agar Israel disingkir sebagai anggota PBB.
Resolusi itu merupakan satu usaha signifikan Malaysia dalam menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin serta komitmen negara dalam memperjuangkan hak kemanusiaan sejagat.
BACA LAGI: Menteri saran solat hajat khusus sempena misi PM bawa usul henti kekejaman Israel
Sebagai rekod, Anwar kini sedang mewakili Malaysia pada Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh.
Pada Sidang Kemuncak itu beliau dijangka akan membawa usul menghentikan kekejaman Israel terhadap Palestin.