Semasa

Penjanaan tenaga guna nuklear sedang dipertimbangkan – Menteri MOSTI

Kerajaan sedang mempertimbangkan penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber penjanaan tenaga negara pada masa depan dalam usaha mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang berkata, tenaga nuklear turut mempunyai kecekapan menghasilkan jumlah tenaga besar sehingga jauh lebih efisien daripada bahan api fosil.

Dalam jangka masa panjang, tenaga nuklear menawarkan kestabilan dari segi kos operasi terutama dari segi harga bahan api selain reaktor moden juga menghasilkan sisa radioaktif lebih sedikit.

“Kemajuan teknologi telah menjadikan tenaga nuklear lebih sesuai untuk Malaysia dengan inovasi baharu seperti Reaktor Modular Kecil (SMR) yang membolehkan loji nuklear lebih kecil, selamat dan kos efektif.

“Ciri-ciri teknologi baharu seperti ini boleh digunakan di kawasan di mana sumber tenaga konvensional tidak sesuai dari aspek aplikasi dan kos. Kemajuan teknologi tenaga nuklear kini memiliki kelebihan dari segi keselamatan terutama melalui kemajuan dalam pengurusan sisa,” katanya pada perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli baru-baru ini memaklumkan, dibawah Rancangan Malaysia ke-13, sumber nuklear akan dimasukkan secara rasmi sebagai salah satu dari sumber tenaga negara.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta MOSTI telah dipertanggungjawabkan untuk memastikan kerangka undang-undang dan peraturan dibangunkan bagi tujuan tersebut.

Sementara itu Chang menambah, Agensi Nuklear Malaysia mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran di dalam mengendali dan menyenggara reaktor penyelidikan nuklear iaitu Reaktor TRIGA PUSPATI selama lebih 40 tahun yang boleh diaplikasikan ke dalam program tenaga nuklear sekiranya dilaksanakan pada masa akan datang.

BACA LAGI: CRESS diperkenalkan, tingkat akses kepada elektrik hijau

“Seiring dengan itu, kerajaan sentiasa menjalankan kempen kesedaran awam seperti program pendidikan, lawatan pakar, dialog dan forum awam bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan nuklear.

“Agensi Nuklear Malaysia sedang bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi melalui Jabatan Penerangan untuk melaksanakan program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) teknologi nuklear di seluruh negara,” katanya.

Related Articles

Back to top button