PM Anwar bincang kerjasama Ulum Islamiah bersama Imam Besar Al-Azhar
Akses pendidikan kepada pelajar Malaysia untuk menuntut di institusi ilmu Islam ulung dunia, Universiti Al-Azhar Al-Sharif, Mesir semakin terbuka luas.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, melalui pertemuan bersama Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb, universiti tersohor itu telah bersetuju untuk menawarkan biasiswa bidang perubatan, kejuruteraan dan teknologi kepada pelajar Malaysia cemerlang.
“Saya juga menekankan perlunya Malaysia dan Al-Azhar Al-Sharif memperkukuh kerjasama di rantau ASEAN, terutama dalam bidang teknologi dan penyebaran ilmu pengetahuan,” katanya pada sesi ceramah umum di Al-Azhar Conference Centre di Kaherah, pada Ahad.
Pada pertemuan bersama Prof Ahmad, Anwar turut menyentuh tentang cadangan memorandum persefahaman (MoU) untuk memperkukuh kerjasama menerusi program Sains Islam (Ulum Islamiah) antara Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan Al-Azhar Al-Sharif.
Turut disentuh ialah rancangan usaha sama antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Institut Bahasa Arab Al-Azhar Al-Sharif bagi mempererat hubungan Malaysia dan Mesir dalam bidang pendidikan.
Terdahulu, sesi ceramah bertajuk ‘Teguh Bersama: Visi Umat Islam Menerusi Pemerkasaan Teknologi, Sosial Dan Eekonomi’ itu dihadiri lebih 1,500 pelajar dari Al-Azhar.
BACA LAGI: Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di semua institusi pendidikan KPM martabat syiar Islam
Pada sesi itu, Anwar memberitahu antara usaha kerajaan Malaysia sejak dua tahun terakhir ini seperti memperkenalkan dan mewajibkan pelajar Islam dari semua aliran sekolah di Malaysia memahami kitab Hadis 40 (Matan Arbain)
Selain itu, Anwar berkongsi mengenai persetujuan Malaysia untuk menyahut pelawaan Syeikhul Azhar dalam menjayakan Majlis Hukama’ al Muslimin pimpinan beliau dengan menamakan wakil termasuk seorang wanita.