Semasa

MOSTI perlu lebih peruntukan untuk R&D, latihan pakar teknologi nuklear

Malaysia memerlukan lebih ramai pakar bagi mengendalikan tenaga nuklear pada masa hadapan.

Menteri Teknologi, Sains dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang berkata, pihaknya tidak menafikan tenaga nuklear antara salah satu tenaga boleh diperbaharui dan kerajaan dalam peringkat untuk meneroka teknologi baharu itu.

Bagaimanapun peruntukan lebih besar diperlukan untuk melatih bakat serta menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang tersebut.

“Walaupun MOSTI mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM195 juta kepada RM595 juta dalam Belanjawan 2025, namun penerokaan tenaga nuklear melibatkan kos tinggi, apatah lagi untuk tujuan komersial.

“Sekiranya kerajaan perlu membangunkan bakat atau R&D dalam bidang tenaga nuklear, kita perlukan bajet yang lebih dari apa yang ada sekarang,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat pada Selasa.

Chang pada perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Isnin berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber penjanaan tenaga negara pada masa depan dalam usaha mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Kemajuan tenaga nuklear kini menawarkan kestabilan dari segi kos operasi terutama dari segi harga bahan api selain reaktor moden juga menghasilkan sisa radioaktif lebih sedikit.

Reaktor Modular Kecil (SMR) contohnya dapat digunakan di kawasan di mana sumber tenaga konvensional tidak sesuai digunakan dari aspek aplikasi dan kos.

BACA LAGI: Penjanaan tenaga guna nuklear sedang dipertimbangkan

Sementara itu pada sidang medianya Chang berkata, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) kini mempunyai kira-kira 300 pegawai pakar dalam pembangunan teknologi nuklear.

Agensi itu telah berpengalaman mengendalikan penyelidikan Reaktor Triga Puspati (RTP) lebih dari 40 tahun.

“Mungkin lima hingga 10 tahun lagi untuk kita membangunkan lebih ramai bakat bukan sahaja ijazah bahkan sehingga ke peringkat PhD, kita masih perlu masa lagi,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button