Semasa

PM Anwar dijadualkan ke Peru, hadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC

Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan untuk memulakan lawatan rasmi ke Lima, Peru hari ini bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) yang ke-31.

Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, lawatan rasmi ini merupakan lawatan sulung Perdana Menteri ke rantau Amerika Latin dan beliau dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra bagi membincangkan kerjasama dua hala antara dua negara.

“(Perbincangan turut melibatkan) bidang perdagangan dan pelaburan serta industri halal, dan juga mengukuhkan hubungan persahabatan antara kedua negara.

“Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan di forum serantau dan pelbagai hala, khususnya ASEAN dan APEC, serta akan menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman,” kata Wisma Putra menerusi satu kenyataan.

Pada lawatan itu juga, Perdana Menteri turut dijadualkan untuk mengadakan perbincangan meja bulat dengan kapten industri Peru.

Perbincangan itu bagi mempromosikan peluang perniagaan khususnya dalam sektor tenaga boleh baharu dan industri digital.

Menyentuh mengenai AELW ke-31 yang akan berlangsung dari 14 hingga 16 November ini, Wisma Putra menjelaskan, Perdana Menteri turut akan menghadiri Sidang Kemuncak CEO APEC sebagai ahli panel dalam sesi bertema Opportunities and Challenges in the AI Revolution.

Anwar juga akan menyertai Dialog Tidak Rasmi Pemimpin APEC Dengan Tetamu dan Dialog Pemimpin Ekonomi APEC bersama Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) selain membuat Pencelahan semasa Sesi Pemukiman AELM.

BACA LAGI: Gyeongju, Korea Selatan dipilih jadi tuan rumah Sidang Kemuncak APEC 2025

“Di sela-sela AELM, Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawatnya dari Ekonomi APEC yang lain.

“Sepanjang lawatan beliau, Perdana Menteri akan berkongsi keutamaan-keutamaan Malaysia di bawah Kerangka Ekonomi Madani yang menekankan keterangkuman, pembangunan mampan, dan pengukuhan kerjasama untuk manfaat semua,” kata kenyataan itu.

Related Articles

Back to top button