Draf Pelan Induk Wakaf Nasional 2025-2030 sedang dimuktamadkan – Timb Menteri Agama
Kerajaan MADANI sedang memuktamadkan draf Pelan Induk Wakaf Nasional 2025-2030 yang akan menjadi dokumen rujukan berkaitan wakaf di negara ini.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025, peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.
“Menerusi penglibatan semua pihak, pelaksanaan pelan ini akan menjadi pemacu pembangunan wakaf termasuk memperkenalkan instrumen kewangan baharu bagi membiayai projek wakaf.
“Selain kutipan wakaf tunai, kerajaan juga meneroka pendanaan menerusi pasaran modal menggunakan instrumen seperti Wakaf Exchange Traded Fund (Waqf ETF) yang sedang dipelopori Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bersama Eq8 Capital Sdn Bhd,” katanya.
Pelan Induk Wakaf Nasional 2025-2030 bertujuan untuk memperkasakan dan menyelaraskan pengurusan dan pentadbiran wakaf di negara ini.
Dijangka dilancarkan tahun hadapan, ia akan menyelaraskan pentadbiran supaya manfaat daripada wakaf akan benar-benar dapat menjana ekonomi.
Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) akan dijadikan sebagai agensi pusat untuk menyatukan dana wakaf di peringkat agensi Persekutuan, sektor korporat dan perbankan Islam yang mempunyai cawangan di seluruh negara.
BACA LAGI: Tabung Wakaf Mara Madani: PM Anwar setuju awalkan penyaluran dana
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Dr Zulkifli turut memaklumkan, seluas 18,578 hektar kawasan merangkumi 88 peratus tanah wakaf di seluruh negara telah dimanfaatkan untuk pelbagai projek pembangunan dan kepentingan awam.
Perkara itu jelasnya berdasarkan data dikeluarkan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) pada 2023.
“Kerajaan Persekutuan bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan syarikat berkaitan kerajaan serta pihak swasta secara berterusan akan mengambil inisiatif untuk memajukan tanah wakaf,” jelasnya.