Semasa

Kabinet setuju naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu

Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada Jumaat lalu meluluskan cadangan projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK)

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata projek itu antara lain melibatkan penambahan kapasiti terminal daripada sembilan juta kepada 12 juta penumpang setahun serta kemudahan baharu seperti pembinaan kawasan bertingkat dan tambahan tujuh ruangan parkir pesawat (apron).

Selain itu, infrastruktur sokongan iaitu penambahbaikan jalan raya sekitar lapangan terbang dan penggunaan teknologi hijau serta adaptasi Teknologi Airport 4.0 dengan mengintegrasikan automasi dan teknologi canggih untuk meningkatkan kecekapan operasi turut akan dilaksanakan.

Mengulas lanjut mengenai projek berkenaan beliau menjelaskan, ia bakal dilaksana Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dengan kos RM442.30 juta dijangka mengambil masa 48 bulan dengan fasa prapembinaan bermula pada tahun ini dan dijadual siap pada 2027.

“Projek ini dibiayai sepenuhnya oleh inisiatif pembiayaan swasta MAHB tanpa melibatkan jaminan kerajaan,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen pada Rabu.

LTAKK merupakan lapangan terbang kedua tersibuk di Malaysia selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut Loke, ia mencatat kapasiti penumpang 9.4 juta penumpang setahun (mppa), melebihi kapasiti semasa pada 2019

“Berdasarkan unjuran, jumlah ini dijangka meningkat kepada 12.4 mppa menjelang 2034. Hingga Oktober 2024, LTAKK telah mencatat jumlah penumpang 6.6 juta, meningkat 13.4 peratus berbanding tempoh sama pada 2023,” katanya.

BACA LAGI: Kajian teknikal pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok bermula tahun depan

Justeru jelasnya, projek menaik taraf LTAKK ialah satu komitmen kerajaan dalam memastikan infrastruktur di Sabah bukan sahaja memenuhi keperluan semasa tetapi bersedia menghadapi permintaan masa depan.

“Saya yakin pelaburan ini bukan sahaja akan memberi pulangan kepada MAHB tetapi juga akan membuka pintu peluang dan kemakmuran untuk rakyat Sabah dan negara,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button