Malaysia mahu jadi pemimpin serantau isu perubahan iklim – Nik Nazmi
Malaysia komited untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050 dan menjadi pemain global bertanggungjawab dalam menangani perubahan iklim.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad ketika mengumumkan matlamat itu menerusi satu kenyataan berkata, ia menandakan keazaman negara untuk bertindak tegas dalam menjaga masa depannya dan rantau ini.
“Sebagai sebahagian daripada Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) kami di bawah Perjanjian Paris, Malaysia menegaskan semula matlamatnya untuk mengurangkan intensiti karbon dalam keseluruhan ekonomi sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan kami juga dalam proses menetapkan satu lagi sasaran NDC yang bercita-cita tinggi pada 2025.
“Kami bertekad bertindak, tanpa mengira landskap iklim global memandangkan ini adalah perkara yang betul bagi dibuat untuk masa depan rakyat dan negara,” katanya.
Justeru NRES jelasnya menggariskan rangka kerja tindakan iklim yang diperbaharui negara, merangkumi satu siri matlamat bercita-cita tinggi membabitkan penggunaan tenaga boleh baharu serta pengurangan karbon.
Sementara itu beliau memberitahu, Malaysia sebagai sebuah ekonomi Asia Tenggara yang sedang membangun, mempunyai kedudukan unik dalam menyusun semula trajektori ekonominya untuk kelestarian yang lebih besar.
“Malaysia sedang mendahului usaha dalam memajukan kredit karbon melalui Rangka Kerja Pasaran Karbon ASEAN selain menangani cabaran mendesak isu jerebu yang merentas sempadan,” katanya.
BACA LAGI: NRES lancar Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0, ke arah ekonomi rendah karbon
Melihat ke hadapan, Nik Nazmi berkata, Malaysia bersedia mempamerkan komitmennya terhadap kelestarian pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-29 (COP29), yang mana ia merancang untuk menekankan kepimpinannya dalam tindakan iklim.
Selain itu, dengan Malaysia bakal memegang jawatan pengerusi ASEAN pada 2025, beliau mengulangi matlamat negara untuk menjadi hab pelaburan mesra alam dan mewujudkan pekerjaan hijau berkemahiran tinggi yang akan menyokong masa depan yang mampan kepada negara.