Negeri

NR-REE: Negeri Sembilan utamakan syarikat berkemampuan – Menteri Besar

Kerajaan Negeri Sembilan bersedia menerima mana-mana pihak yang berminat mengusahakan industri unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di negeri itu termasuk di tanah milik mereka sendiri.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun ditemui pemberita selepas mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu menegaskan, pihak terbabit bagaimanapun perlu mempunyai kemampuan dalam industri berkenaan.

“Apa yang penting kita kena telus, kita tak mahu orang yang tiada pengalaman buat.

“Di tanah kerajaan kita kena pilihlah syarikat-syarikat yang berkemampuan. Tidaklah orang datang jumpa saya dan kata mahu buat 1,000 ekar dan saya pun beri (sahaja).

“Saya mahu tahu kemampuan, apa pengalamannya dan kaji barulah kita runding,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Negeri Sembulan meluluskan dua kawasan berkeluasan kira-kira 400 hektar untuk dijadikan lokasi perlombongan NR-REE yang akan dimulakan tidak lama lagi.

Ia susulan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perlombongan hasil bumi itu telah dipersetujui antaranya ia tidak melibatkan hutan simpan selain ia harus melalui atau dengan kerjasama anak syarikat kerajaan negeri iaitu Menteri Besar Diperbadankan (MBI).

Sementara itu menurut Aminudin, kerajaan negeri akan memberi tempoh masa tertentu untuk urusan eksplorasi kawasan kepada pihak yang berminat dalam perlombongan REE di negeri ini.

“Itu sebab kita bagi tempoh satu ke enam bulan untuk dibuat penjelajahan (kawasan), kalau itu tidak mampu dibuat kita akan tolak,” katanya lagi.

BACA LAGI: NRES fokus aspek ESG dalam bangunkan industri NR-REE negara

Sebagai rekod, Kerajaan Persekutuan telah memberi jaminan bahawa hasil perlombongan mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) akan kekal menjadi hak Kerajaan Negeri.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, hal itu berpandukan Perlembagaan Malaysia bahawa perlombongan mineral termasuk NR-REE selain minyak dan gas (OnG) terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Related Articles

Back to top button