Filipina langgar sempadan Maritim, Malaysia hantar nota bantahan
Malaysia menghantar nota bantahan kepada Filipina berkaitan dua akta maritim baharu negara itu yang melanggar sempadan maritim Sabah.
Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin di Dewan Rakyat pada Khamis berkata, Akta Zon Maritim Filipina (Philippine Maritime Zones Act) dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina (Philippine Archipelagic Sea Lanes Act) disahkan telah melangkaui Peta Baharu Malaysia 1979 yang dibuat berdasarkan undang-undang antarabangsa.
Akta tersebut ditandatangani Presiden Ferdinand Marcos Jr pada 8 Nov lepas turut menyentuh soal tuntutan negara itu terhadap Sabah.
“Kita telah pun memuktamadkan dan mempertimbangkan beberapa isu utama yang akan kita masukkan dalam nota bantahan kita.
“Nota bantahan ini, kita akan hantar demi menunjukkan komitmen kita bahawa hak kedaulatan Sabah dan negara kita akan terus kita pertahankan,“ katanya.
Media antarabangsa melalui laporan mereka berkata, kedua-dua akta maritim baharu Filipina itu adalah usaha untuk memperkukuh tuntutan Manila ke atas kawalan Laut China Selatan yang masih dipertikaikan sehingga kini.
BACA LAGI: Anggota Maritim Malaysia guna kamera badan elak pelanggaran SOP
Sebagai rekod, Mohamad Alamin pada Mac lalu menegaskan, bahawa setiap keputusan dalam penyelesaian persempadanan Maritim Malaysia dengan negara jiran yang dibuat dan dipersetujui, tidak akan menjejaskan kedaulatan dan kepentingan negara, demikian Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.
Kerajaan tegasnya tidak pernah dan tidak akan sama sekali mengambil ringan dalam membuat sebarang keputusan yang melibatkan isu kedaulatan negara.