Negeri

Belanjawan Selangor 2025: RM3 bilion disediakan untuk pacu pembangunan negeri

Kerajaan Selangor memperuntuk RM3 bilion dalam belanjawan tahun hadapan bagi melaksanakan perbelanjaan mengurus dan meneruskan pembangunan negeri.

Belanjawan diumumkan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam petang Jumaat itu meningkat sebanyak RM470 juta berbanding RM253 bilion yang diperuntukkan bagi tahun 2024.

Bertemakan Selangor Dinamik: Cita Sempurna Malaysia Madani, Belanjawan Selangor 2025 merangkumi RM1.7 bilion atau 56.7 peratus perbelanjaan mengurus dan RM1.3 bilion atau 43.3 peratus perbelanjaan pembangunan.

Bagi peruntukan mengurus, beliau menjelaskan perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan (objek am 2000) merupakan komponen terbesar mencakupi 38.7 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Jumlah ini termasuk pelarasan kenaikan skim gaji penjawat awam, khidmat kawalan keselamatan dan kontrak penyelenggaraan melibatkan 26 jabatan dan elaun majlis pengurusan komuniti kampung.

“(Ini termasuk) peruntukan elaun jawatankuasa dan petugas masjid serta sewaan bangunan ibu pejabat dan sembilan mahkamah rendah syariah,” katanya pada pembentangan tersebut.

Amirudin turut memaklumkan, belanjawan dibentangkan itu mengandungi lima teras fokus kepada Kecerdasan Buatan dan Pendidikan Pemangkin Kemajuan Ekonomi Negeri; Mendukung Hasrat Alam Sekitar Mampan dan Infrastruktur Berkualiti; Memupuk Negeri Penyayang; Menjuarai Tadbir Urus Cekap dan Wibawa serta Membugar Ekonomi Kebudayaan dan Pembangunan Generasi Muda.

Dalam pada itu beliau berkata, anggaran belanja pembangunan bagi 2025 akan memberi lebih tumpuan terhadap sektor infrastruktur berbanding sektor sosial, merangkumi 31.09 peratus daripada peruntukan pembangunan.

Katanya, sejumlah peruntukan bernilai RM404.17 juta itu akan fokus kepada kerja-kerja naik taraf infrastruktur bagi menyokong keterjaminan bekalan air bersih, pengurusan sisa pepejal lebih efisien serta naik taraf infrastruktur jalan raya dan saliran.

“Sebahagiannya bagi promosi Tahun Melawat Selangor 2025 serta persediaan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026,” tambah beliau.

BACA LAGI: Selangor cipta sejarah, negeri pertama serah laporan SDG ke PBB

Mengenai status dana Kumpulan Wang Disatukan, beliau berkata, ia meningkat sebanyak RM751.46 juta, iaitu daripada RM3.614 bilion pada akhir 2023 kepada RM4.365 bilion.

Manakala kedudukan rizab semasa negeri pada 7 November lalu adalah sebanyak RM4.37 bilion. Hasil negeri juga mencapai jumlah kutipan RM2.429 bilion setakat 13 November lalu daripada anggaran hasil tahun ini sebanyak RM2.2 bilion.

Related Articles

Back to top button