KPDN buka 1,770 pusat penjualan dibawah Program Penyeragaman Harga
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mewujudkan 1,770 pusat penjualan (Point of Sale) di seluruh negara tahun ini.
Timbalan Menterinya, Dr Fuziah Salleh berkata, inisiatif dibawah Program Penyeragaman Harga (PPH) itu antara inisiatif kerajaan untuk mengawal harga barang terutamanya di kawasan pedalaman yang sebahagiannya mengalami kenaikan harga.
Bagi tahun ini, Kerajaan Persekutuan telah telah menyediakan peruntukan berjumlah RM225 juta pada tahun ini untuk pelaksanaan program ini melibatkan enam negeri iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah
“Tujuh jenis barangan yang terlibat dalam program ini ialah beras putih, gula putih bertapis kasar, tepung gandum, minyak masak paket, gas petroleum cecair LPG (tong gas memasak), petrol RON95 dan diesel.
“Ia diupayakan menerusi pemberian subsidi kerajaan kepada syarikat pengangkut untuk mengedar barang perlu, LPG dan Community Drumming ke kawasan pedalaman yang berjarak lebih 15 kilometer dari pusat bekalan,” katanya.
BACA LAGI: Atasi ketirisan minyak masak bersubsidi, KPDN kaji mekasime khusus
Terdahulu, Dr Fuziah hadir ke program Kita Gempur: Menyantuni Pelaksanaan Program Community Drumming di Kuala Jengai, Dungun pada Jumaat.
Sementara itu sebagai menyentuh peruntukan Belanjawan 2025 beliau berkata, pihak kementerian akan memanfaatkan sebaiknya RM300 juta yang diperuntukkan kepada program Payung Rahmah bagi menggerakkan lebih banyak Jualan Rahmah untuk mengekang masalah kekurangan bekalan terutamanya sewaktu musim banjir.
“Selain itu, kita juga berikan kelulusan kepada Pemborong Terpilih Daerah (DDW) dan Peruncit Terpilih Daerah (DDR) untuk menyimpan barang kawalan melebihi 30 peratus daripada had simpanan lesen sebagai persediaan kecemasan dalam menghadapi musim banjir. Bekalan tersebut telah digerakkan ke DDW dan DDR terlibat,” katanya.