Semasa

Menteri KPKT prihatin, sumbang sebulan gaji untuk kebajikan kakitangan

Barisan kepimpinan dalam Kerajaan MADANI terus menunjukkan nilai-nilai positif dalam setiap tindakan mereka.

Terbaharu, Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming telah menderma sebulan gajinya kepada tabung kebajikan kakitangan di kementerian diketuainya itu.

Sumbangan itu diumumkan beliau sewaktu sidang media sempena kejayaan KPKT meraih Anugerah Pembangunan Negara 2024 (APN) baru-baru ini.

“Pencapaian ini merupakan hasil usaha berterusan semua jabatan dan bahagian di bawah KPKT dalam pelaksanaan projek yang memberi impak positif kepada keperluan rakyat.

“Ini selaras dengan matlamat Malaysia Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih makmur dan maju. Melalui kepercayaan antara kerajaan dan rakyat, dasar ketelusan dan kerjasama,” katanya dalam satu sidang media di Bilik Media KPKT semalam.

Kor Ming bagaimanapun tidak mendedahkan nilai sumbangan yang diserahkan.

Pada majlis di Movenpick Convention Centre, KLIA Sepang Selasa lalu. KPKT turut merangkul tiga anugerah lain iaitu pelaksanaan Industrialised Building System (IBS), pengurusan program dan projek pembangunan serta penilaian pencapaian konsisten.

“Kejayaan KPKT mencerminkan komitmen kami dalam memastikan projek pembangunan dapat disiapkan dan memberi manfaat kepada mereka yang layak.

“Diharapkan segala projek pembangunan yang sedang berjalan dinilai dan berjaya memberikan pulangan positif dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui pembangunan yang inklusif, berdaya tahan dan mampan,” tambahnya.

BACA LAGI: JPPA tempelak Abdul Hadi kerana pertikai keputusan PM Anwar tak ambil gaji

Untuk rekod, barisan jemaah menteri di bawah Kerajaan MADANI bersetuju gaji mereka dipotong sebanyak 20 peratus setiap bulan, manakala Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula memutuskan untuk tidak mengambil gajinya selagi tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi negara.

Langkah tersebut diambil sebagai semangat keprihatinan kerajaan terhadap masalah rakyat.

Related Articles

Back to top button