Dr Wan Azizah seru ahli Pandu Puteri aktif bimbing golongan muda
Kemajuan teknologi mendedahkan golongan muda kepada risiko penipuan atas talian, buli siber, web lucah serta gangguan seksual dalam talian.
Justeru menurut Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail , adalah penting ahli PPPM aktif mendekati golongan muda agar mereka dapat dipimpin dan dinasihati agar tidak terjerumus dalam perkara yang boleh mendatangkan musibah.
“Kita telah lahirkan generasi yang dipupuk dengan disiplin dan sifat kepimpinan yang tinggi dan penekanan turut diberikan kepada pembangunan karakter yang seimbang dari segi mental, fizikal dan rohani.
“Walaupun cabaran hidup masa kini amatlah berbeza daripada zaman dahulu, namun keberadaan dan kewujudan PPPM selama 108 tahun di negara ini merupakan bukti bahawa ia kekal relevan dan mampu beradaptasi dengan perubahan zaman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan ke-108 PPPM dan Pelancaran Jualan Girl Guide Cookies yang diadakan di Kuala Lumpur pada Ahad.
Turut hadir pada acara itu adalah Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Pesuruhjaya PPPM Datuk Yeoh Soo Keng.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), secara purata sebanyak 10 kes buli siber dipercayai berlaku setiap hari dalam tempoh dua tahun sejak 2022.
Jumlah itu membabitkan 9,483 aduan kes buli siber diterima MCMC dalam tempoh terbabit, iaitu 4,878 kes melibatkan wanita dan lelaki sebanyak 4,605 kes.
“Berikutan seriusnya buli siber ini, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan membentangkan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian 2024 dalam masa yang terdekat ini.
“Sama-sama kita doakan semoga usaha murni kerajaan ini akan dapat direalisasikan untuk melindungi seluruh rakyat tanpa diskriminasi, terutamanya kanak-kanak,” katanya.
BACA LAGI: Dr Wan Azizah seru pelajar hargai pengorbanan guru dan ibu bapa
Dr Wan Azizah sementara itu menzahirkan tahniah atas kerjasama PPPM dan Julie’s Manufacturing Sdn Bhd untuk inisiatif jualan biskut tabung itu.
Sumbangan yang diberikan dari hasil jualan itu bakal dimanfaatkan bagi program latihan dan aktiviti pembangunan holistik gadis-gadis dan wanita muda di seluruh negara.