Selangor sedia jalan kerjasama dalam bidang AI
Kerajaan Negeri Selangor bersedia menjalin bekerjasama erat dengan pihak industri untuk memanfaatkan teknologi baharu terutama berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu sebagai usaha meningkatkan produktiviti pekerja serta kecekapan pentadbiran kerajaan yang selari Dasar Speed Selangor yang akan mula dilaksanakan pada tahun hadapan.
Dasar tersebut bertujuan mengurangkan tempoh pemprosesan dan masa menunggu yang dihadapi oleh perniagaan ketika menguruskan kebenaran merancang atau mendapatkan lesen perniagaan selepas menerima Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC).
“Mulai tahun depan, kami merancang agar pihak berkuasa tempatan mampu mengeluarkan lesen perniagaan dalam tempoh 24 jam selepas semua syarat CCC dipenuhi,” katanya.
BACA LAGI: RM3 bilion disediakan untuk pacu pembangunan negeri
Sementara itu jelasnya, kerajaan negeri turut menggariskan sasaran dalam industri semikonduktor, yang disokong oleh pelaburan besar yang dirancang bagi tahun 2025.
Justeru kerajaan negeri jelasnya berharap menarik lebih banyak syarikat dari China dan Taiwan agar menjadikan Selangor sebagai pangkalan mereka, terutamanya dalam pelaburan bagi fasa reka bentuk litar bersepadu.