Tak masuk akal fitnah PM Anwar sokong Israel
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membidas percubaan pihak yang cuba memfitnah Perdana Menteri dengan mendakwanya sebagai menyokong Israel.
Pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Kempen Antidadah di Sekolah Peringkat Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir di Bukit Mertajam pada Ahad beliau menegaskan, Datuk Seri Anwar secara jelas mengecam dan menentang kekejaman dilakukan Israel termasuk melalui ucapan di pentas antarabangsa.
Justeru fitnah tersebut adalah tidak dapat diterima dan telah dilakukan hanya atas sebab politik.
“Pendirian Perdana Menteri sangat jelas, terang, namun masih ada lagi sebut bahawa Anwar sokong Israel, iktiraf Israel.
“Hendak sebut Perdana Menteri sokong Israel masuk akal atau tidak? Beliau seorang pemimpin Muslim, pendiriannya sejak dua tahun di semua pentas antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah sangat jelas.
“Beliau jumpa semua pemimpin dunia yang dilihat condong kepada Israel secara bersemuka seperti Canselor Jerman dan berikan penegasan menolak sama sekali tindakan Israel.
“Saya percaya rakyat terbanyak mengikuti perkara ini dan rakyat tahu buat penilaian, sebab itu kita minta hentikan,” katanya.
Baru-baru ini ada pihak cuba mengelirukan rakyat dengan menyunting wawancara Anwar mengenai konflik Israel-Palestin bersama Richard Quest daripada CNN .
Video disunting itu cuba memberi gambaran seolah-olah kerajaan mengiktiraf kewujudan Israel yang sama sekali tidak menggambarkan konteks pendirian yang disampaikan Perdana Menteri.
Anwar kemudian menyifatkan cubaan tersebut sebagai perbuatan memperbodoh rakyat dan beliau menegaskan Malaysia tidak mengiktiraf Israel secara ‘de jure’, meskipun keberadaan negara itu pada peringkat antarabangsa adalah fakta ‘de facto’.
BACA LAGI: PM Anwar paling lantang bela Palestin – bekas Menteri Agama
Sementara itu Saifuddin berkata, beliau kesal apabila pendirian Anwar yang jelas menentang Israel masih dipertikai sedangkan kerajaan sudah menjelaskannya berulang kali.
Berikutan itu, katanya, kerajaan tidak akan berdiam diri dan tindakan tegas termasuk penguatkuasaan ke atas pihak atau individu terbabit menyebarkan fitnah akan dilakukan selepas ini.