KPDN tekad benteras habis-habisan penyelewengan minyak masak bersubdisi
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) akan melaksana usaha membanteras habis-habisan aktiviti penyelewengan barangan bersubsidi termasuk minyak masak peket satu kilogram (kg).
Timbalan Menteri KPDN Dr Fuziah Salleh berkata, pihaknya menyedari ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan daripada minyak masak peket bersubsidi sebagai contoh menggunakannya untuk perniagaan seperti di restoran.
“Jadi perkara ini akan dibanteras habis-habisan dan inilah tugas penguatkuasa kita dan kita akan pastikan tiada ketirisan berlaku,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta kerajaan menjelaskan mekanisme diambil bagi memastikan minyak masak peket bersubsidi benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran khususnya golongan B40.
Mengulas lanjut Dr Fuziah menjelaskan, beberapa usaha sedang dilaksana kerajaan bagi menangani ketirisan itu antaranya dengan melakukan pemantauan menggunakan sistem eCOSS untuk menjejaki rantaian agihan minyak masak bersubsidi .
Selain itu anggota dan pegawai penguatkuasaan KPDN bekerja 24 jam bagi memastikan tidak berlakunya ketirisan barang keperluan bersubsidi terutama minyak masak peket.
“Sebanyak 60 juta minyak paket bersubsidi dikeluarkan setiap bulan. (Jadi), Kita memastikan kita menggunakan sistem eCOSS boleh jejak daripada repacker (pengilang) kepada pemborong dan peruncit.
“Peruncit pula diminta untuk mengisi buku log mereka jual kepada siapa, tetapi adakalanya peruncit itu tidak menyimpan buku log dengan baik. Jadi penguatkuasaan amat penting…” katanya.
BACA LAGI: Fuziah sifatkan penyelewengan minyak masak bersubsidi sebagai tindakan ‘sabotaj’ kerajaan
Fuziah sebelum ini memaklumkan sebanyak 60,000 metrik tan (MT) sebulan bersamaan dengan 60 juta polibeg minyak masak diberikan subsidi kepada 32.7 juta rakyat Malaysia setiap bulan.
Agihan dilaksana mengikut bilangan penduduk sesebuah negeri dengan kadar penggunaan satu individu bersamaan dengan 1.5 kg minyak masak sebulan yang sepatutnya mencukupi untuk menampung keperluan domestik sekaligus membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.