Fahmi sedia dengar keluhan pengamal media isu pindaan Akta Mesin Cetak
Kementerian Komunikasi bersedia mendengar pandangan pengamal media berhubung cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, walaupun perkara itu bukan dibawah bidang kuasa kementeriannya, namun beliau akan berhubung dengan tiga persatuan wartawan bagi mendapatkan gambaran sebenar isu yang menjadi kebimbangan mereka itu.
“Walaupun draf itu bukan di bawah jagaan Kementerian Komunikasi, tapi saya sedia mendengar pandangan daripada rakan-rakan media dan insya-Allah kita akan cuba untuk sampaikan,” katanya .
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan sebelumnya menghadiri majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Menara KWSP di Kwasa Damansara pada Selasa.
Terdahulu tiga persatuan tersebut iaitu Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) menuntut penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung cadangan pindaan tersebut.
Berikutan desas-desus bahawa syarat dan penalti bagi media akan diperluas dan diperketatkan di bawah pindaan berkenaan mereka bimbang ia akan menggugat kebebasan selain memberi impak besar kepada organisasi dan petugas media.
BACA LAGI: Kerajaan keluarkan Draf akhir Kod Tatalaku penyedia media platform minggu depan
Bagaimanapun Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Ahad memberi jaminan pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bersama pengamal media dalam mendapatkan maklum balas serta cadangan berkaitan pindaan Akta tersebut.
Jelasnya, jika ada cadangan berkaitan pindaan yang bercanggah dari sudut kebebasan atau hak asasi ia akan dibincangkan.