Gabungan NGO lapor polis, mahu fitnah terhadap PM Anwar disiasat
Satu laporan polis dibuat susulan video tular yang didakwa memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan temu ramah dengan CNN.
Laporan itu difailkan Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SGGMSR) yang merupakan gabungan 20 badan bukan kerajaan (NGO) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di Kuala Lumpur pada Selasa
Jurucakap gabungan itu, Shahbudin Embun berkata, video dimuat naik oleh seorang individu menggunakan akaun “Papa Berry Studio” di platform YouTube itu adalah fitnah dan tidak bertanggungjawab.
Ia bertujuan menghasut orang ramai untuk menimbulkan kemarahan rakyat terutamanya orang Islam di Malaysia terhadap Perdana Menteri dan kerajaan.
“Ini adalah fitnah, perbuatan jahat dan satu penghinaan terhadap beliau (Anwar) kerana kita tahu dari zaman mudanya lagi, beliau telah memperjuangkan hak rakyat Palestin dan kami, NGO tidak akan berkompromi dengan perkara ini,” tegasnya.
Antara ahli gabungan NGO yang turut hadir membuat laporan polis ialah Waris Pekembar Malaysia, Pertubuhan Media Digital Malaysia (MEMO) dan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM).
Terdahulu, wawancara Anwar bersama Richard Quest daripada CNN didakwa telah disunting bagi mengambarkan beliau mengiktiraf hak Israel untuk wujud yang jelas sekali tidak menggambarkan konteks pendirian disampaikan Perdana Menteri.
Anwar dalam responnya sebelum ini menegaskan Malaysia tidak mengiktiraf Israel secara ‘de jure’, meskipun keberadaan negara itu pada peringkat antarabangsa adalah fakta ‘de facto’.
BACA LAGI: Tak masuk akal fitnah PM Anwar sokong Israel
Sementara itu Shahbudin berharap pihak polis segera menjalankan siasatan di bawah Akta Hasutan terhadap pemilik akaun YouTube Papa Berry Studios.
“Ia berkait kesalahan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan niat mencemarkan imej kerajaan, tuduhan fitnah ini sangat berat dan jelas berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi Perdana Menteri dan kerajaan,” katanya.