Semasa

500 tindakan penguatkuasa dilaksana KL Strike Force sejak ditubuhkan Mei lalu – Dr Zaliha

Lebih 500 tindakan penguatkuasaan melibatkan lebih 2,000 tangkapan telah dilaksana pasukan KL Strike Force sejak penubuhannya pada Mei lalu.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menerusi hantaran X pada Rabu seperti dilapor media.

Tambahnya, kerjasama rentas kementerian dan agensi kerajaan telah dilaksana unit khas bersepadu itu untuk menangani isu pencerobohan tanah kerajaan, pendatang tanpa izin dan persundalan.

Mengulas mengenai usaha menangani isu persundalan di ibu negara beliau berkata, Dolly di Surabaya, Indonesia yang dahulunya dikenali sebagai ‘red-light district’ dan kini diberi nafas baharu sehingga menjadi kawasan hijau mungkin boleh dijadikan sebagai contoh.

“From red to green (Daripada kawasan merah kepada hijau). Ini kita akan laksanakan di Kuala Lumpur,” katanya.

Dr Zaliha memaklumkan beliau sebeumnya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan.

Pada mesyuarat itu beliau telah diberi taklimat keselamatan di Labuan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Labuan memaklumkan keadaan keselamatan di Wilayah Persekutuan itu sedang dipantau dengan baik.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa cadangan yang perlu diteliti bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan penduduk Labuan secara keseluruhannya,” jelasnya.

Dr Zaliha turut memaklumkan beliau telah meminta Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk meneliti aspek perundangan, khususnya peraturan-peraturan yang lemah dan lapuk agar penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih komprehensif.

Related Articles

Back to top button