Semasa

KPM lancar garis panduan PEERS, tumpu lima objektif utama

Kementerian Pendidikan melancarkan Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) Kebangsaan sebagai usaha menangani peningkatan kes remaja hamil luar nikah.

Menterinya, Fadhlina Sidek ketika pelancaran garis panduan itu di Kuala Lumpur pada Rabu berkata, ia direka untuk menyampaikan mesej secara langsung untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan reproduktif.

“Pelancaran garis panduan itu tepat pada masanya, memandangkan cabaran dihadapi negara dengan pelbagai isu termasuk keganasan seksual terhadap kanak-kanak dan gadis muda.

“Antara satu fokus utama adalah bagaimana ia akan mengukuhkan ekosistem, terutama dalam menjaga keselamatan anak-anak kita, terutamanya dari gangguan seksual dan melindungi maruah mereka.

“Adalah penting untuk mengajar anak-anak bagaimana mengatakan tidak terhadap gangguan dan bagaimana untuk memastikan bahawa mesej ini sampai kepada setiap orang,” katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri baru-baru ini mendedahkan berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak 44,263 kes kehamilan remaja direkodkan di negara ini dalam tempoh lima tahun lalu.

Susulan itu Fadhlina berkata, kementeriannya mengambil maklum isu tersebut dan akan melaksana modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) dalam Kurikulum Persekolahan 2027.

Dalam pada itu sebagai mengulas garis panduan dikeluarkan Fadhlina berkata, ia bagi mencapai lima objektif utama iaitu mengembangkan kemahiran manusia berkaitan dengan kesihatan reproduktif dan sosial untuk semua lapisan masyarakat.

Selain itu bagi memupuk keseimbangan dan nilai positif dalam kalangan masyarakat mengenai isu kesihatan reproduktif dan sosial untuk kehidupan berkualiti, selamat, dan bertanggungjawab.

BACA LAGI: KPM tingkat advokasi, laksana modul PEERS tangani isu kehamilan dalam kalangan remaja

Garis panduan itu juga untuk menyediakan maklumat dan panduan mengenai pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial kepada semua lapisan masyarakat; menggalakkan penyertaan ibu bapa, guru, komuniti dan pihak berkepentingan serta menyokong pembangunan individu yang sihat dan sejahtera dalam masyarakat, khususnya di kalangan belia.

Memandangkan keperluan mendesak terhadap isu tersebut, KPM jelasnya akan mengedarkan garis panduan itu ke sekolah-sekolah dan pelbagai program kesedaran yang membabitkan ibu bapa dan komuniti yang akan diadakan.

Related Articles

Back to top button