KDN komited selesai isu lambakan PATI melalui penguatkuasaan
Kerajaan MADANI terus menumpukan usaha menangani lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi 17,745 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sepanjang 2023 hingga 13 November lalu seramai 41,073 pendatang asing tanpa izin (PATI) sudah ditahan.
“Sehingga 31 Oktober lepas, bilangan pekerja asing berdaftar di JIM adalah seramai 2,438,468 orang yang bekerja di tujuh sektor utama iaitu perkilangan, pembinaan, perkhidmatan, perladangan, pertanian, pembantu rumah dan perlombongan serta pengkuarian.
“KDN melalui JIM komited untuk memastikan keselamatan negara diutamakan dengan melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan serta tindakan pencegahan bagi mengelakkan berlakunya peningkatan jumlah PATI,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan laman sesawang Parlimen pada Khamis.
Sementara itu tegas Saifuddin, kerajaan turut mengambil tindakan terhadap majikan yang menggajikan pekerja asing yang tidak sah.
Susulan itu seramai 1,589 majikan turut ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam tempoh sama.
BACA LAGI:Tiada kompromi terhadap pegawai PBT lindungi warga asing – Menteri Wilayah
Selain operasi penguatkuasaan tersebut, JIM turut melaksana tindakan untuk mengesan pelawat asing tinggal lebih masa melalui operasi penguatkuasaan secara berterusan; menangkap, mendakwa serta mengusir warganegara asing yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Passport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Sepanjang tahun lepas seramai 27,739 pelawat asing yang ditangkap, ditahan di pusat-pusat tahanan imigresen di seluruh negara manakala sejak 1 Januari hingga 14 November lepas seramai 41,234 pendatang tanpa izin telah ditempatkan di depo tahanan imigresen,” katanya.