Dr Taufiq bidas Sanusi susulan pelabur projek Langkasuka tarik diri
Keputusan Bin Zayed International LLC menarik diri daripada projek Langkasuka di Langkawi membuktikan kegagalan serius pentadbiran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari menerusi satu kenyataan pada Sabtu berkata, projek bernilai RM 40 bilion yang dicanang sebagai pemangkin kemajuan Langkawi itu kini berpotensi terbengkalai.
Justeru Muhammad Sanusi tegasnya perlu bertanggungjawab atas kegagalan itu dan tidak menuding jari kepada pihak lain apabila pelabur antarabangsa menarik diri.
“Kegagalan itu adalah hasil langsung daripada kurangnya perancangan strategik dan dasar yang lemah.
“Adakah ini pentadbiran yang mahu diamanahkan untuk membawa perubahan kepada Kedah? soalnya dipetik laporan media.
Pada 2021, Widad Business Group Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik dengan BZI untuk membantu membangunkan pembangunan bercampur RM40 bilion yang dikenali sebagai Widad@Langkasuka di Langkawi.
Bagaimanapun media pada Jumaat mengesahkan syarikat Konglomerat pelaburan global itu menarik diri dari projek tersebut memberi tumpuan kepada peluang yang lebih baik.
Sementara itu menurut Dr Mohammed Taufiq, Pengarah Urusan Kumpulan BZI, Sheikh Midhat Kidwai telah menyatakan syarikat itu tidak lagi melihat potensi keuntungan dalam projek ini sejak tahun 2022.
Kenyataan ini jelasnya sebagai menunjukkan kegagalan kerajaan negeri dalam merancang dan mengurus projek mega yang melibatkan pelaburan besar.
“Lebih membimbangkan, pentadbiran Menteri Besar tidak mampu menyediakan asas infrastruktur dan polisi yang diperlukan untuk menarik serta mengekalkan keyakinan pelabur.
BACA LAGI: Iskandar Malaysia catat pelaburan komited RM40.3 bilion dalam tempoh 9 bulan
“Jika situasi ini terus berlanjutan, ia mungkin akan menjejaskan imej Kedah sebagai destinasi pelancongan dengan pelancong memilih untuk melawat lokasi lain seperti Thailand yang menawarkan infrastruktur lebih baik dan peluang pelancongan yang lebih menarik,” kata beliau yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah.
Dr Mohammed Taufiq juga menegaskan, setiap kegagalan projek seperti itu membawa impak besar kepada ekonomi dan nama baik negeri.