Selangor selaras bantuan, pastikan individu layak tidak tercicir
Kerajaan Negeri Selangor berhasrat menyelaraskan bentuk bantuan bagi memastikan yang layak tidak tercicir.
EXCO kebajikan masyarakat Anfaal Saari berkata pihaknya sedang mengkaji kaedah pendaftaran Skim Khairat Darul Ehsan secara automatik berpandukan rekod data Jabatan Pendafaran Negara (JPN) Selangor.
“Sebelum ini bantuan khairat kematian disalurkan mengikut data penerima Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Iltizam Selangor Iltizam Penyayang (ISP). Waris juga perlu dimohon dalam tempoh enam bulan kematian secara manual dengan menghantar borang.
“Jadi, kita mahu memudah cara penyampaian bantuan ini selain meringankan beban petugas di setiap Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri yang memproses banyak permohonan ISP,” kata.
Anfaal sementara itu memaklumkan, bantuan khairat kematian RM500 menerusi SMUE bakal dimansuhkan selari pengumuman pelaksanaan Skim Khairiat Darul Ehsan sebanyak RM1,000 pada Belanjawan 2025 lepas.
BACA LAGI: KEADILAN perkenal saluran khusus untuk aduan kenaikan caj perubatan hospital swasta
“Ia juga memenuhi manifesto Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri lalu untuk meningkatkan jumlah bantuan ini,” jelasnya.
Pada pembentangan Belanjawan Selangor 2025, Kerajaan Negeri juga mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk melaksanakan skim itu mulai 1 Jun tahun depan, yang memanfaatkan 20,000 individu berusia 50 tahun ke atas serta orang kurang upaya (OKU).